Isnin, 7 Mac 2011

sEgaLaNya bErMuLa Di PrasEkOLaH.....

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah kerana masih dikurniakan kesihatan yang baik. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana nikmat yang diberikan amat bermakna untuk hidup yang sementara ini.

Sepanjang 2 tahun 9 bulan saya menjadi seorang guru, saya sudah berjaya mendapat kepuasan dalam mengajar anak-anak didik. Walaupun kepuasan yang diperoleh tidak sebesar mana jika dibandingkan dengan guru-guru yang mengajar arus perdana.

Saya merupakan seorang guru Pendidikan Khas. Tetapi, sejak 7 Februari 2011 saya telah ditugaskan untuk mengajar prasekolah bagi menggantikan guru prasekolah yang cuti bersalin. Pada mulanya agak berat hati ini untuk meninggalkan kelas pendidikan khas dan mengajar prasekolah. Ini kerana, terdapat seorang murid Pendidikan Khas yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Saya telah diamanahkan untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, tugas yang diarahkan oleh guru besar ini sangat besar kerana saya aperlu berkorban dengan meninggalkan anak didik sendiri dan mengajar prasekolah.

Minggu pertama saya di prasekolah, saya seperti hilang arah. setiap hari saya berfikir bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan kanak-kanak prasekolah. Alhamdulillah saya dapat menyesuaikan diri saya dengan mereka dalam masa satu hari sahaja. Banyak yang saya perlu belajar mengenai prasekolah. Salah satunya ialah mengenai kurikulum prasekolah iaitu lebih dikenali sebagai Kurikulum Stabdard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). 

Dalam kelas prasekolah, terdapat seramai 25 orang murid yang terdiri daripada 12 orang murid lelaki dan 13 orang murid perempuan. Dalam kelas ini, hanya terdapat seorang murid perempuan yang lancar membaca iaitu Mardhiah Amalia yang merupakan anak kepada guru prasekolah. Apa yang saya mula-mula buat ialah menetapkan target bilangan murid yang akan boleh membaca menjelang bulan Mei. Setelah beberapa minggu di prasekolah, saya telah berjaya mencapai sebahagian target saya. Terdapat penambahan dalam bilangan murid yang sudah boleh membaca. Jika sebelum ini hanye seorang murid yang lancar membaca, tetapi sekarang terdapat penambahan sebanyak lima orang murid yang boleh membaca. Walaubagaimanapun, lima daripada enam orang murid ini hanya boleh membaca perkataan bagi sukukata kvkv manakala, seorang murid lagi sudah boleh membaca untuk perkataan yang mempunyai sukukata kvkkv walaupun masih kurang lancar. Penambahan bilangan ini sangat membanggakan dan sangat memberi kepuasan kepada saya. Ini kerana, agak sukar untuk saya mencapai kejayaan seperti ini semasa saya mengajar Pendidikan Khas.

Selain daripada membaca, terdapat juga tiga orang murid yang masih memerlukan bimbingan bagi membatangkan sukukata kvkv. Sekarang ketiga-tiga murid ini sudah boleh membatangkan sukukata tersebut. Manakala, lima belas orang murid lagi masih belum mengenal huruf a hingga z sepenuhnya. Setelah beberapa minggu, Alhamdulillah, terdapat 2 orang daripada lima belas murid tersebut sudah boleh mengecam huruf a hingga z. Bagaimana saya melakukannya?

Saya menggunakan kaedah Video, Audio, Kinestatik dan Tactile (VAKT) di mana, saya menggunakan flashcard yang tertera huruf a hingga z. Selain menunjukkan huruf tersebut, saya menyebut setiap huruf yang saya tunjukkan. Saya juga meminta murid untuk menulis bentuk huruf yang disebutkan di udara. Selain menggunakan flashcard biasa, saya juga menggunakan flashcard di mana murid dapat merasa bentuk huruf tersebut. Flashcard yang saya maksudkan ini boleh dibuat mengikut cara tersendiri. Saya menggunakan biji saga untuk membentuk huruf menjadi flashcard. Penggunaa warna yang terang dapat membantu kanak-kanak prasekolah untuk belajar kerana, ianya boleh membantu merangsang deria serta menarik perhatian kanak-kanak tersebut.

Saya juga turut menggunakan kaedah masteri di mana, saya menyediakan worksheet sendiri dengan menulis huruf a hingga z pada  kertas. Saya akan memanggil seorang demi seorang daripada lima belas orang murid ini untuk menyiapkan worksheet yang saya berikan. huruf yang saya lukis pada worksheet itu tidak tersusun. Ini bermakna saya lukis huruf tersebut secara rawak. Saya akan menyebut huruf secara rawak untuk dicari oleh murid dan diwarnakan. Jika murid itu mewarnakan huruf yang salah, saya akan memberitahu murid tersebut akan kesalahan yang dilakukan dan menunjukkan huruf yang sebenarnya. Saya akan mengulang tugasan yang sama pada keesokan harinya pada murid yang sama bagi menguji  tahap pengecaman mereka.

Walaupun dengan menggunakan kaedah ini, saya mendapat keputusan yang kurang memberansangkan dalam seminggu, saya akan cuba mencari kaedah yang lain yang mungkin bersesuaian dengan  tiga belas orang murid lagi. Saya berharap, menjelang bulan Mei, target saya akan tercapai. Bagi dua orang murid yang sudah boleh mengecam semua huruf, saya akan mula mengajar mereka mengeja sukukata kvkv sehingga boleh membatangkan sukukata tersebut.

Anda rasa, apa kaedah lain yang saya boleh gunakan bagi membolehkan tiga belas orang lagi boleh mengecam semua huruf? cadangan dan pandangan anda amat saya perlukan. Dengan pengalaman yang tidak seberapa ini saya mengharapkan ada antara anda boleh berkongsi pengalaman anda dalam mengajar dan mendidik anak-anak anda di rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan